Artikel Panas Dan Sensasi

News Update :

Artikel Berkaitan

Home » » Pensiangan nikmati 1Malaysia

Pensiangan nikmati 1Malaysia

Penulis : Unknown on Monday, 22 October 2012 | 20:38


Penduduk Pensiangan Nikmati Manfaat Gagasan 1Malaysia
Pensiangan, sebuan pekan kecil di bahagian pedalaman Sabah, kira-kira 120 kilometer dari Keningau, kini mengalami pembangunan rancak berikutan pelbagai dasar dan program pembangunan yang dilaksanakan untuk manfaat rakyat.
Kawasan pedalaman seluas lebih 6,000 km persegi dengan penduduk lebih 20,000 orang itu menerima hasil pembangunan yang sangat ketara sekali berbanding beberapa dekad yang lalu.
Semasa membandingkan kawasan itu yang sebelum ini berhutan tebal dan kini berubah wajah, Anggota Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup berkata usaha menangani masalah kemiskinan adalah agenda utama Barisan Nasional, (BN) khususnya di kawasan Parlimen Pensiangan.
“..kini projek pembinaan jalan raya, pembangunan desa, kemudahan asas seperti loji air, bekalan elektrik, bantuan projek perumahan rakyat dan sebagainya sedang dijalankan dan ada yang telahpun siap sepenuhnya.
“Tidak dinafikan dari segi geografinya, kita agak jauh dari pusat pentadbiran kerajaan. Tetapi, kerajaan tidak akan melupakan kita walau diceruk manapun kita berada untuk mengeluarkan rakyat di kawasan ini dari belenggu kemiskinan dengan pelbagai pendekatan dan program pembangunan,” katanya  ketika meninjau loji air daerah Nabawan bersama 20 peserta Kembara Media 1Malaysia dalam satu program anjuran Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Sabah di sini, semalam.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata pembinaan tiga loji utama yang telah dan sedang dilaksanakan itu mampu menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk sekitar terutama di daerah Sook, Nabawan dan Pegalungan.
Katanya, kerajaan membelanjakan RM96 juta bagi membina loji air di Pegalungan yang dijangka siap Mei tahun depan.
Beliau berkata RM98 juta pula diperuntukkan bagi pembinaan loji air Pinipi di Tulid, Sook yang kini 80 peratus siap untuk beroperasi pada Mac tahun depan.
“Antara tumpuan utama lain adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat melibatkan cadangan pembinaan jalan raya dari Sepulot hingga ke Kalabakan dan pembinaan dua sekolah menengah baharu di Dalit,” katanya.
Menurutnya, pada masa kini, Loji Air Daerah Nabawan yang beroperasi pada 2009 membekalkan lapan juta liter air sehari kepada 15,000 pengguna di 10 buah kampung di sekitarnya.
Kurup turut berharap penduduk kawasan Pensiangan akan menerima manfaat daripada Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, kesihatan serta bantuan dan insentif rakyat.
“Pada zaman dahulu, kita dapat lihat jalan kayu balak yang berlubang-lubang dan mengambil masa berjam-jam untuk pergi dari Sook ke Sinua serta dari Keningau mengambil masa 12 jam untuk ke Sinua, jalan raya tidak baik, penduduk daif, tahap kesihatan tidak seperti kini dan sekolah pun terhad,” katanya berkongsi pengalamannya pada majlis makan malam media sempena program Kembara Media selama dua hari itu.
Kurup juga memberi jaminan projek pembinaan Hospital Daerah Nabawan yang bernilai RM28 juta akan tetap dilaksanakan bagi memberi kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
“Kita akan berusaha membina hospital itu dalam tempoh 15 bulan selepas menjangkakan untuk mengeluarkan tender sekurang-kurangnya pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan Sabah Ellron Alfred yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sook yang turut meninjau beberapa projek di sekitar kawasannya itu berkata kerajaan membelanjakan hampir RM600 juta bagi pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan perkhidmatan dan infrastruktur di Sook sejak tahun 2008.
Beliau berkata RM143.5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf jalan raya dari pekan Sook ke Kampung Tulid sejauh 34 km yang dijangka siap Jun 2014 dan RM148.9 juta bagi menurap jalan sepanjang 30km dari Batu Lunguyan ke Sinua dan RM9 juta pula diperuntukkan bagi membina jalan Minawo sejauh 9km.


Share this article :

Post a Comment

Pautan

Blog 24/7

 
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger